Sejahtera Ke atas Kamu, Wahai Cikgu…

28 January 2010

Oleh: Marniyati (Blog M.A.R.N.I)

Selain ucapan ‘Assalamualaikum’, setiap kali seorang cikgu masuk ke dalam bilik darjah, pasti akan bergema ucapan ‘Selamat pagi’ atau ‘Selamat tengahari’ atau ‘Selamat petang’ atau ‘Salam sejahtera’ diucapkan oleh murid-murid terhadap cikgu tersebut.

Hakikatnya, benarkah cikgu-cikgu kita ‘selamat’?

Menyingkap kembali sorotan peristiwa di sekolah untuk tahun ini (selepas hanya dua minggu sesi persekolahan bermula) :

________________________________________

CUKUP menyedihkan apabila dalam tempoh dua minggu, kita disajikan dua berita memalukan, membabitkan guru ditampar pelajar dan ibu pelajar. Kejadian pertama berlaku di Nibong Tebal apabila seorang pelajar berusia 16 tahun menampar pipi gurunya yang berusia 28 tahun.

Insiden dilaporkan berpunca daripada tindakan pelajar terbabit bersama dua rakannya memasuki kelas yang sedang diajar guru berkenaan tanpa menghormati guru berkenaan lantas membuat bising sebelum diarahkan keluar.


Guru terbabit menampar seorang daripada mereka yang tidak mengendahkan arahan berkenaan dan akibatnya seorang lagi daripada pelajar terbabit menampar guru itu pula. Lebih menakutkan, seorang daripada pelajar terbabit bertindak ganas membaling kerusi ke arah guru berkenaan.

Terbaru, dilaporkan seorang guru lelaki yang berusia 28 tahun ditampar ibu seorang pelajar yang dikatakan marah dan tidak berpuas hati dengan tindakannya menampar anaknya di sebuah sekolah di Perlis.

Kejadian ini juga dilaporkan berpunca daripada masalah disiplin pelajar berkenaan. Walaupun pihak sekolah cuba menjernihkan keadaan dengan mendamaikan kedua-dua pihak, wanita berkenaan yang masih tidak puas hati, menampar guru berkenaan di depan Pengetua dan guru lain.

Baca lebih lanjut di Berita Harian.

_________________________________________

Membaca rencana yang terpapar di akhbar Berita Harian ini menbuatkan hati terasa bagai disiat-siat. Mengapa murid sekolah hari ini begitu keterlaluan tingkahnya? Mengapa ibu bapa hari ini juga terlalu berlebihan sayangkan anak mereka?

Saya bukan guru sekolah dan saya tidak pernah berpeluang mengajar di mana-mana sekolah. Namun setiap kali ada berita sebegini, saya berasa sangat kecewa.

Mengingati tempoh 13 tahun saya bergelar murid di sekolah rendah dan sekolah menengah, cikgu-cikgu saya adalah insan yang paling saya sayang dan hormat selepas emak dan abah. Mustahil tidak ada sekelumit pun perasaan begitu dalam diri murid yang berani menampar cikgunya sendiri.

Apa sebenarnya yang terjadi?

Haruskah cikgu dipersalahkan (itulah yang berlaku setiap kali berita begini dipaparkan media) jika murid bertindak kurang ajar begini?

Haruskan ibu bapa menyerang cikgu (sehingga sanggup menampar cikgu tersebut) sekalipun tindakan cikgu itu menampar anak mereka adalah tindakan yang tidak wajar?

Jika anak bersikap kurang ajar dan melawan cikgu di sekolah, bukankah ibu bapa yang harus berasa malu kerana gagal mendidik anak mereka dengan baik? Mengapa cikgu pula yang menjadi mangsa?

Jika tidak mengajar dengan betul, cikgu dipersalahkan. Jika murid gagal peperiksaan, cikgu juga dipersalahkan. Soalnya, bagaimana cikgu boleh mengajar dengan betul dan baik sehingga si anak boleh menjadi pelajar cemerlang jika cikgu tidak boleh menegur kesilapan si anak itu tadi?

Setiap kali berlaku kes sebegini, cikgu tidak pernah diberikan kebebasan menyuarakan hak mereka. Setiap kali kes didedahkan di media, cikgu yang terlibat tidak pernah dapat bersuara menegakkan kebenaran, sekalipun kebenaran itu berpihak kepada mereka.

Pernahkah kita dengar cikgu membuat kenyataan di kaca tv betapa dia tidak bersalah merotan anak muridnya? Pernahkah kita dengar cikgu membuat kenyataan akhbar menyatakan bahawa beliau telah dianiaya oleh murid sehingga keretanya tercalar, anggota badannya disimbah asid, atau dirinya dicederakan sehingga terlantar di hospital? Tidak pernah, bukan?

Mungkin sudah sampai masanya Kementerian Pelajaran membuka ruang supaya cikgu sekolah terbela dan tidak terus-terusan teraniaya. Sudahlah beban tugas guru itu sendiri cukup berat digalas, ditambah pula dengan kerenah murid yang kurang ajar, kini dihenyak pula oleh ibu bapa yang terlebih penyayang (kononnya).

Sudah tiba masanya cikgu diberi peluang membela diri. Diam bererti menang. Diam itu pintar. Namun dalam era dunia yang semakin mencabar ini, cikgu harus diberi peluang membela diri. Berani kerana benar.

Kepada ibu bapa di luar sana, belajarlah menghormati cikgu anak-anak kita. Keterlaluan menyayangi anak-anak hanya akan menyebabkan anak-anak itu tidak sayang dan tidak hormat kepada kita. Bukankah sekolah itu ‘rumah kedua’ dan cikgu-cikgu itu ‘ibu bapa kedua’ untuk anak-anak kita? Jadi, bagaimana anak-anak boleh menghormati kita jika kita sendiri tidak menghormati cikgu mereka?

Kepada cikgu-cikgu di luar sana. Teruskan usaha mendidik anak bangsa. Kuburkan lautan rasa kecewa. Masih ramai ibu bapa yang menghargai anda. Sesungguhnya hanya Allah yang dapat membalas segala budi dan jasa.

Semoga Allah memberkati dan merahmati kehidupan cikgu-cikgu di dunia dan di akhirat nanti. Semoga Allah sentiasa menyayangi dan melindungi. Amin.

Tags: , , , ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Sembang


ShoutMix chat widget

Pendidikan

Kesatuan