SPM: Tuntutan dipotong
Sumber: Forum Utusan Malaysia |24 Februari 2010|
SAYA ingin tahu apakah kaedah yang digunakan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Kedah untuk mengira tuntutan yang dibuat oleh pengawas-pengawas peperiksaan SPM 2009 yang lalu.
Guru-guru berkenaan telah membuat tuntutan dengan mengikut pekeliling yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Namun rata-rata tuntutan mereka telah dipotong tanpa mengetahui sebab-sebab pemotongan tersebut.
Malah guru-guru lantikan asal untuk mengawas peperiksaan SPM yang tinggal melebihi 25 kilometer dari pusat peperiksaan juga dilarang menuntut elaun harian.
Adakah arahan ini selaras untuk semua negeri di Malaysia atau di Kedah sahaja? Saya difahamkan Jabatan Pelajaran negeri-negeri lain tidak memotong tuntutan yang dibuat guru-guru pengawas peperiksaan sewenang-wenangnya selagi tuntutan itu mengikut pekeliling yang ditetapkan.
Keadaan sebegini seolah-olah menindas guru-guru yang sanggup mengorbankan cuti mereka semata-mata untuk membantu mengawasi peperiksaan awam. Ramai guru yang menerima pelantikan mengawas peperiksaan awam tidak sanggup dan merayu kawan-kawan lain untuk menggantikan mereka. Mohon penjelasan dari pihak yang berwajib.
MATCABAI
Jitra, Kedah






