NUTP Gesa Sistem Giliran Guru

9 March 2010

Sumber: Berita Harian |9 Mac 2010|

KUALA LUMPUR: Guru perlu menganggap penempatan di kawasan luar bandar sebagai khidmat negara, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng.

Dengan perubahan paradigma ini, tempoh perkhidmatan mereka di kawasan luar bandar akan lebih bermanfaat dan berhasil kerana mereka akan dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh minat, katanya.

Melalui sistem itu, NUTP berharap kerajaan akan membenarkan guru terbabit dipindahkan selepas mereka mengajar dua hingga tiga tahun di sekolah luar bandar.

“Apa yang berlaku sekarang ialah sebaik saja guru itu ditempatkan untuk mengajar di kawasan luar bandar, mereka dilupakan dan dibiarkan di situ selama bertahun-tahun lamanya.

“Ini yang kami mahu elakkan dan akan menggesa Kementerian Pelajaran merumuskan sistem giliran yang adil dan saksama di mana semua guru baru diberi peluang mengajar di sekolah di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata, NUTP yang mewakili 160,000 guru menyokong penuh langkah kerajaan untuk mewajibkan guru baru ditempatkan di sekolah luar bandar.

Bagaimanapun, kesatuan itu berharap kementerian akan membincangkan butiran terperinci mengenai cadangan itu dengan pelbagai wakil dan persatuan guru.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan sedang menimbangkan untuk mewajibkan guru mengajar sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun di sekolah luar bandar dan pedalaman.

Kerajaan menawarkan ganjaran dan insentif lain untuk menarik guru supaya mengajar di kawasan luar bandar.

Pada ketika ini, guru yang mengajar di luar bandar dibayar elaun bertugas di pedalaman antara RM500 hingga RM1,500. – Bernama

Tags: , , , ,

One Response to NUTP Gesa Sistem Giliran Guru

  1. siti azura on 17 April 2010 at 2:46 pm

    kadang-kadang guru di pedalaman sahaja diberi perhatian. bagaimana dengan guru luar bandar yang tidak menerima elaun seperti guru pedalaman tetapi dihantar bertugas jauh dari kampung halaman seperti di sarawak?
    ERMMMM…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Sembang


ShoutMix chat widget

Pendidikan

Kesatuan